Tuesday, May 21, 2013

PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU MENGENAI... PENYAKIT MENTAL

Saban hari kita dikejutkan dengan pelbagai berita tentang pesakit dan penyakit mental. Siapa mereka? Mengapa mereka bertindak ganas? Siapa yang mengawal fikiran mereka? dan banyak lagi persoalan yang sering bermain di fikiran kita. Di dalam blog ini, saya akan cuba mengupas persoalan-persoalan tentang PENYAKIT MENTAL. Semoga bermanfaat untuk para pembaca.


Utusan Malaysia:

20 Februari 2009 melaporkan bahawa menurut Prof. Dr. Mohammad Hussain Habil, Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya, lebih 270,000 penduduk Malaysia mengidap Skizofrenia, sejenis penyakit mental tanpa menyedarinya. 

4 Februari 2012, Tinjauan Kesihatan Morbiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12% rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Tinjauan itu juga mendapati wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki. Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar, berkata, statistik itu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini ada penyakit mental. 

Berita Harian:

8 Oktober 2012, masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini berada pada tahap membimbangkan malah bilangannya semakin menunjukkan peningkatan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati kelaziman masalah kesihatan mental golongan tersebut telah meningkat daripada 13% pada 1996 kepada 20% pada tahun 2011.

10 Oktober 2012, Malaysia sebagai sebuah negara majoriti umat Islam menghadapi masalah sakit mental yang serius dimana 12% rakyat negara ini atau 3.5 juta orang menghidap penyakit mental dengan purata 6 orang bunuh diri setiap hari dan 50,000 kes cubaan bunuh diri setiap tahun. Menurut Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Rabaiah Mohd Salleh orang ramai yang mendapatkan rawatan penyakit mental kini meningkat kepada maksimum 10 kes baru didaftarkan sehari berbanding di antara 2-3 kes sehari pada tahun 2007.



PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU MENGENAI... PENYAKIT MENTAL

Penyakit mental boleh melibatkan sesiapa sahaja. Kita perlu memahami apa itu penyakit mental:

Penyakit mental adalah:

  • Sejenis penyakit yang menyebabkan gangguan-gangguan teruk dalam pemikiran, peranaan dan tingkah laku
  • Gangguan-gangguan ini menyebabkan seseorang tidak mampu untuk menghadapi cabaran dan kehidupan seharian. 

Punca Penyakit Mental:

  • Terdapat pelbagai faktor seperti baka, biokimia dan persekitaran

Penyakit Mental Boleh Bersifat Sementara

  • Ia boleh datang dan pergi dalam kehidupan seseorang. Sesetengah individu boleh mengalami penyakit mental hanya sekali dan sembuh sepenuhnya. Manakala bagi individu lain ia boleh berulang dan memerlukan rawatan berterusan.

Terdapat Rawatan yang Berkesan untuk Penyakit Mental

  • Penyakit mental boleh dirawat secara berkesan dengan rawatan yang komprehensif dan sistematik.

Kenyataan SALAH mengenai penyakit mental

  • Pesakit-pesakit mental menderita akibat gejala-gejala penyakit dan tidak mampu berfungsi secara normal (selama-lamanya).

Penyakit Mental perlu Dikesan Awal untuk Ditangani Secara Berkesan. Perhatikan Tanda-tanda Awal Penyakit Mental...

  • Perubahan tingkahlaku yang ketara
  • Cepat marah atau bertindak ganas
  • Ketidakupayaan untuk menangani masalah & melakukan aktiviti seharian
  • Mempunyai idea-idea yang pelik
  • Keresahan yang teruk
  • Kemurungan yang berpanjangan
  • Perubahan ketara dalam tabiat pemakanan dan tidur
  • Memikir atau bercakap tentang bunuh diri
  • Perasaan berubah-ubah dengan ketara
  • Penyalahgunaan dadah dan alkohol

Ahli Keluarga, Penjaga, Rakan-rakan dan Masyarakat perlu Belajar untuk Menerima Pesakit-pesakit Mental

  • Tingkatkan pengetahuan dan kefahaman tentang penyakit mental
  • Bantu pesakit mendapatkan rawatan
  • Beri sokongan dan peluang kepada pesakit untuk mengambil bahagian dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat
  • Sokongan organisasi dan agensi yang menyediakan perkhidmatan untuk pesakit

Dapatkan Bantuan Dari:
Hospital, Klinik Kesihatan atau Persatuan Kesihatan Mental Setempat



Sumber: Pamplet Pupuk Minda Sihat, Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments:

Post a Comment