1. SEMUA PESAKIT MENTAL SENTIASA TIDAK SIUMAN
Tidak semua penyakit mental akan menyebabkan pengidapnya menjadi tidak siuman. Hanya mere yang mengidap penyakit 'psikosis' yang melibatkan gangguan kewarasan sahaja boleh mengalami masalah tidak siuman. Walaubagaimanapun ianya bersifat sementara dan boleh dirawat.
2. SEMUA PENYAKIT MENTAL DISEBABKAN FAKTOR GENETIK ATAU KETURUNAN
Tidak semua penyakit mental disebabkan oleh faktor genetik atau keturunan. Buktinya, tidak semua yang mengalami penyakit mental mempunyai salasilah keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental. Terdapat juga faktor lain yang boleh menyumbang kepada masalah penyakit mental seperti tekanan kerja, kewangan, penyalahgunaan dadah dan lain-lain.
3. PESAKIT MENTAL HANYA BOLEH DIRAWAT DI INSTITUSI PSIKIATRI ATAU
HOSPITAL MENTAL SAHAJA
Sebahagian besar penyakit mental boleh dirawat sebagai pesakit luar seperti orang awam yang lain. Hanya pesakit mental yang kerap mengalami penyakit berulang (relapse) kerana berhenti memakan ubat atau sakit teruk kerana terbiar lama dan tidak mendapat rawatan doktor sahaja yang akan dirawat di hospital.
4. PESAKIT MENTAL TIDAK DAPAT MENJALANI KEHIDUPAN BIASA DAN
SENTIASA BERGANTUNG KEPADA ORANG LAIN
Sama seperti penyakit fizikal, penyakit mental juga boleh sembuh sekiranya diberikan rawatan yang teratur dan berterusan. Mereka yang hilang upaya akibat menghidap penyakit mental masih mampu berdikari sekiranya menjalani rawatan pemulihan.
5. PESAKIT MENTAL SELALU MENGGANAS DAN PERLU DIASINGKAN
Jumlah kes keganasan disebabkan oleh pesakit mental adalah sangat kecil tetapi ia disensasikan oleh pihak media. Keadaan ini adalah bersifat sementara sahaja dan boleh berlaku sekiranya penyakit mental yang dialami tidak mendapat rawatan. Rawatan yang sempurna akan membantu pesakit mental menjadi lebih tenang, terkawal dan tidak perlu disisihkan dari masyarakat.
6. PESAKIT MENTAL TIDAK BOLEH BEKERJA
Melalui program pemulihan yang komprehensif dan sistematik, pesakit mental yang teruk boleh dipulihkan dan kembali kepada kehidupan yang normal. Mereka boleh bekerja atau berdikari untuk menyara kehidupan mereka seperti sediakala.
7. PESAKIT MENTAL MERUPAKAN ORANG YANG LEMAH SEMANGAT DAN SUKA
MENURUT PERASAANNYA
Mereka kelihatan lemah semangat dan suka menurut perasaan disebabkan penyakit mental yang dialami belum dirawat sepenuhnya. Dengan rawatan yang sempurna, masalah ini dapat diatasi.
8. PESAKIT MENTAL PERLU DIASINGKAN
Pesakit mental biasanya akan pulih dengan segera apabila mendapat rawatan yang sempurna dan mereka boleh dirawat di dalam masyarakat sekeliling tanpa pengasingan.
9. PENYAKIT MENTAL BOLEH BERJANGKIT. ELAKKAN BERGAUL DENGAN
MEREKA
Penyakit mental bukan disebabkan oleh kuman, bakteria ataupun virus. Oleh itu ia tidak boleh berjangkit.
10. OLEH KERANA PUNCA SEBENAR PENYAKIT MENTAL TIDAK DIKETAHUI MAKA
IANYA MUSTAHIL UNTUK DICEGAH
Langkah-langkah pencegahan penyakit mental adalah meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental, mengendalikan tekanan secara positif dan mengamalkan cara hidup sihat.
Sumber: Pamplet Pupuk Minda Sihat, Kementerian Kesihatan Malaysia
No comments:
Post a Comment